Makanan Tradisional.
Alhamdulillah saya berasa amat bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia, tempat tumpahnya darahku. Malaysia adalah negara dengan kepelbagaian budaya dan agama, yang mana dengan kepelbagaian ini, makanan adalah perkara yang sentiasa menjadi debat dalam setiap perjumpaan saya dengan sesiapa pun. Saya dilahirkan di Klang, Selangor dengan kawan-kawan saya yang terdiri daripada semua etnik kaum. Meskipun saya dikelilingi masyarakat pelbagai kaum, saya juga tidak lari daripada adat dan makanan tradisional dari kampung halaman saya yang berada di Melaka dan Muar, Johor.
Kalau orang Malaysia selalu order roti canai di kedai mamak saya akan memesan Tosai. Tosai adalah makanan tradisional kaum India, saya mula mengenali makanan ini selepas kawan saya yang berbangsa India memesan makanan ini di kedai makan ketika saya masih berada di sekolah rendah. Makanan ini diperbuat daripada beras yang dihancurkan dan diperam dengan tepung dan air. Proses peraman mengambil masa seharian yang biasa dilakukan pada waktu petang atau malam supaya Tosai ini boleh dihidang keesokan paginya. Tosai kebiasaanya dihidang bersama chutni kelapa, dengan kuah dal. Rasanya rangup, sedikit masam dengan rasa umami.
Saya mula kenal masakan cina muslim ketika saya berumur tujuh tahun. Ketika itu, ibu dan ayah akan selalu mengajak makan di kedai cina muslim di sekitar flat Taman Sri Sarawak selepas sekolah. Masakan seperti Nasi Goreng Cina dan Kue Tiao Kung Fu, sangat sedap di restoran itu. Namun, saya lebih suka dengan masakan Nasi Putih dan Ayam Kung Pao, yang dikatakan tuan kedai sebagai makanan tradisional mereka yang dia gemar. Ayam Kung Pao dimasak dengan cili kering, potongan ayam didadu dan sayuran seperti daun kuchai dan bawang merah. Rasanya tidak pedas, sedikit berminyak kerana ianya ditumis namun sangat sedap dimakan ketika makan tengah hari.
Keluarga saya mempunyai resepi Sambal Tumis yang diturunkan secara bergenerasi. Sambal Tumis adalah makanan tradisional bagi orang melayu terutamanya melayu Melaka, "kalau tak pedas bukan orang Melaka-lah kita" ngomel ibuku setiap kali membuat Sambal Tumis. Masakan Sambal Tumis kegemaran saya adalah Sambal Tumis Udang yang biasa ibuku buat ketika hari lahir saya dan sambutan hari raya. Tiada yang setanding masakan Sambal Tumis Udang ibuku, mahupun orang lain yang masak Sambal Tumis, air tangan ibuku juga yang paling sedap!
Makanan tradisional lain pun saya masih minati seperti, Laksa Johor, Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Masak Lemak dan Asam Pedas. Jauh mana pun saya mengembara, masakan ini telah tertanam jauh di dalam deria rasa saya. Sampai bila-bila masakan ini saya tidak akan lupa.
Comments
Post a Comment